PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal sistem dalam talian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang gagal diakses sehingga menyulitkan urusan pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Beliau berkata, PH menerima menerima banyak aduan daripada rakyat berkenaan kegagalan untuk mengakses laman sesawang SPR bagi menyemak tempat mengundi sejak malam tadi.
“Kepincangan ini amat mendukacitakan kerana SPR seharusnya melakukan segala persediaan untuk memastikan kelancaran proses pengundian.
‘‘Ada masalah dari segi akses internet SPR. Tapi saya difahamkan ini sudah dibetulkan. Jadi dalam satu jam (masalah) tadi menimbulkan banyak kesulitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Presiden PKR itu mendesak SPR untuk segera menyelesaikan masalah tersebut bagi melancarkan proses pengundi.
Sementara itu, Anwar turut memaklumkan proses pengundian juga mengambil masa begitu lama untuk saluran yang disediakan SPR.
“Saya lihat tadi beberapa saluran terlalu lama, dua jam beratur.. sekadar nak pergi mengundi,” ujarnya.
Terdahulu, calon PH Parlimen Tambun itu selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada jam 9.06 pagi.
Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu Anwar (PH) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perikatan Nasional) Datuk Aminuddin Md Hanafiah (Barisan Nasional) dan Abdul Rahim Tahir (Gerakan Tanah Air). – Malaysiapost

