CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap peratusan keluar mengundi khususnya di Kepala Batas sehingga petang ini mampu mencecah antara 80 hingga 85 peratus.
Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, berkata tiada sebab untuk pengundi tidak lagi keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Malah, Reezal Merican turut optimis dengan pertambahan jumlah pengundi dalam kalangan pengundi muda kali ini.
“Alhamdulillah, saya dan isteri (Datin Seri Ismalina Ismail) telah selamat menunaikan tanggungjawab kami untuk mengundi dalam ‘mood’ atau suasana yang amat seronok hari ini.

“Tak kisah siapa yang mereka (pengundi) pilih tapi ini (PRU15) umpama satu ‘pesta’ yang perlu kita raikan bersama,” katanya.
Sementara itu menerusi hantaran Facebook, Reezal Merican berharap pengundi yang masih belum keluar mengundi supaya segera berbuat demikian.
“Tahniah kepada semua yang telah selesai mengundi. Anda telah tunaikan tanggungjawab besar sebagai rakyat Malaysia.
“Yang belum mengundi. Ayuh turun segera. Kita tunaikan tanggungjawab untuk negara tercinta,” katanya.
Terdahulu, beliau dan isterinya tiba di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yu di sini, kira-kira pukul 10.10 pagi dan mengambil masa kira-kira sejam sebelum membuang undi.
Kepala Batas menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Reezal Merican akan ditentang Dr Siti Mastura Mohamad (PN), Hamidi Abu Hassan (GTA) dan Danial Abdul Majeed (PH).
Pada PRU14 lalu Reezal Merican menang dengan majoriti 4,736 undi. – Malaysiapost

