CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mampu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.
“Saya yakin berdasarkan usaha yang dilakukan sedaya upaya, InsyaAllah rakyat akan kekal bersama saya untuk terus bangunkan Gombak,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemu media selepas selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Klang Gate, pagi tadi.
Azmin berkata, secara keseluruhan, sambutan rakyat terhadap PN sangat meyakinkan selepas mereka melihat pencapaian yang diraih dalam tempoh singkat.
“Saya percaya, rakyat mahukan kerajaan stabil dan kuat untuk menjamin masa depan negara. Kami juga akan lakukan yang terbaik.
“Saya yakin, proses pilihan raya akan berlangsung baik. Walaupun cuaca mendung, saya yakin proses ini akan disempurnakan dengan baik,” katanya.
Mohamed Azmin yang juga penyandang kerusi selama tiga penggal itu tiba bersama isterinya Datin Seri Shamsida Taharin pukul 8.35 pagi membuang undi.
Sementara itu, calon PN Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengheret keputusan pengiraan undi PRU15 hingga melewati waktu tengah malam.
Beliau beerkata, ini kerana SPR mempunyai petugas yang mencukupi selain penggunaan teknologi yang boleh mempercepat dan melancarkan urusan berkenaan.
“Saya harap jangan lama sangat. Dunia makin hari makin maju. Lagi pun SPR ada cukup petugas.
“Saya fikir nak kira undi bukan terlalu sulit. Harap tak perlu tunggu sampai tengah malam. Saya juga harapkan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Mengulas peluang untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu, Ahmad Faizal optimis PN mampu mencapai kejayaan bersandarkan gelombang sokongan terhadap gabungan parti di seluruh negara.
“Secara jujurnya selepas dua minggu berkempen, saya rasa ada gelombang di seluruh negara yang menyokong PN, sangat menggalakkan,” katanya. – Malaysiapost

