Peti undi dengan Jalur Gemilang hiasi laman utama Google Malaysia

0
2

KETIKA rakyat Malaysia dilanda ‘demam’ Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Google Malaysia turut tidak ketinggalan apabila memaparkan ikon peti undi pilihan raya dengan bendera Malaysia menghiasi paparan di laman utama Google Malaysia.

Pengunjung ke google.com hari ini akan melihat paparan peti undi dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang, ditempatkan di tengah perkataan Google, dan apabila paparan peti undi itu diklik, ia akan memaparkan penjelasan mengenainya.

“PRU15 di Malaysia berlangsung pada 19 November 2022 untuk memilih wakil rakyat.

“Sebanyak 221 kerusi di Dewan Rakyat akan dipertandingkan pada pilihan raya,” menurut kenyataan penjelasan itu.

Malaysia mempunyai 222 kawasan Parlimen, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai diadakan pada 7 Disember berikutan kematian penyandangnya.

Calon Pakatan Harapan (PH) M Karupaiya meninggal dunia akibat serangan jantung pada Rabu lalu.

Lebih 20 juta pengundi berdaftar akan mengundi pada PRU15 hari ini untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan masing-masing bagi tempoh lima tahun akan datang.

Turut berlangsung hari ini ialah pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Bugaya di Sabah, yang ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat bagi membendung pandemik Covid-19.

Pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan dibuka mulai 8 pagi, manakala di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan bermula pukul 7.30 pagi; dan pusat mengundi di semenanjung ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari dan 6 petang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here