PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengerti kepercayaan pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen bukanlah hadiah, sebaliknya amanah dan tanggungjawab yang perlu diterjemahkan untuk seluruh rakyat Bagan Datuk.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menegaskan perlu berusaha membawa pelbagai pembangunan demi kesejahteraan masyarakatnya berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, pembangunan itu bagaimanapun haruslah diseimbangkan agar hidup masyarakat Bagan Datuk damai dan sentosa tidak terkesan.
Dalam usaha menyakinkan pengundi untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid menyenaraikan beberapa pembangunan yang telah dibawanya ke kawasan berkenaan.
Antara pembangunan yang dibawanya di Bagan Datuk sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk adalah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kompleks Sukan Bagan Datuk, tiga rumah pam serta pembelian dan pembaikan bangunan bagi kegunaan Pejabat Kebajikan Daerah Bagan Datuk.
Pembangunan lain adalah Klinik Kesihatan Hutan Melintang, naik taraf laluan Simpang Empat Hutan Melintang, Politeknik Bagan Datuk, Jambatan Bagan Datuk, kem askar wataniah, Dewan Serbaguna Rungkup dan Kompleks Masjid Tuminah.
“Bagaimanapun demi masa sudah tentu akan tiba jua waktu untuk masyarakat Bagan Datuk diuji lagi. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok, ‘musuh’ kita muncul semula di Bagan Datuk untuk melampiaskan hasutan politik.
“Kali ini dengan agenda yang lebih besar untuk menyekat Pengerusi BN dan Presiden Umno yang menjadi halangan terbesar mereka untuk kembali berkuasa dan menipu rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau menyeru rakyat di Bagan Datuk agar tidak mendengar hasutan musuh-musuhnya dengan mengingati projek-projek pembangunan Bagan Datuk yang dibatalkan ketika mereka berkuasa.
Antara projek yang dibatalkan itu adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bagan Datuk, Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Datuk, Kolej Komuniti Bagan Datuk, hotel di Bagan Datuk, pembangunan infrastruktur Bagan Datuk Water City, persimpangan Bertingkat Hutan Melintang, Perak Heavy Industrial Park (PHIP) dan naik taraf laluan Parit – Bagan Datuk.
Pembangunan lain yang dibatalkan adalah Klinik Kesihatan Bagan Datuk Water City, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Kompleks Pentadbiran Daerah Bagan Datuk, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Bagan Datuk, Perpustakaan Awam Digital Bagan Datuk, Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk dan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bagan Datuk.
“Kesemua projek yang mereka batalkan selepas PRU-14 ini sepatutnya memajukan lagi taraf ekonomi Bagan Datuk. Juga membuka banyak peluang pekerjaan untuk ramai penduduk sekali gus menaikkan taraf hidup masyarakatnya.
“Justeru, masyarakat Bagan Datuk yang saya hormati mengundilah secara bijaksana pada 19 November ini. Mengertilah anda bukan sahaja penentu kepada masa depan Bagan Datuk, malah Malaysia keseluruhannya.
“Undi anda antara penentu terpenting sama ada kestabilan demi kemakmuran dapat dipulihkan pada PRU-15. Semoga rakyat Bagan Datuk membuat pilihan tepat mengundi BN bukan saja demi Bagan Datuk, tetapi untuk Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

