JENTERA Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Tanah Merah akan membantu pengundi untuk keluar mengundi pada esok hari.
Calon PN, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, jenteranya akan membantu pengundi supaya mereka keluar mengundi.
“Di pihak saya, kami lebih fokus pada hari mengundi nanti. Bagaimana gerak kerja untuk memastikan semua penyokong kami keluar mengundi.
“Kita nak pastikan sekiranya ada (penyokong) kita yang belum keluar mengundi, kami akan usahakan untuk bawa mereka keluar mengundi,” katanya di Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah.
Terdahulu, beliau bertemu untuk menyampaikan amanat dan taklimat kepada jentera parti.
Ikmal Hisham yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, pada masa yang sama, beliau lebih banyak menyampaikan makluman kepada jentera untuk memastikan jangan ada usaha untuk memburukkan calon PN.
“Selain itu, jentera juga akan memastikan tidak ada usaha untuk (calon-calon) membeli orang-orang (pengundi) kita…pada masa ini kita lebih tumpu untuk menjaga kawalan,” katanya.
Pada masa yang sama, Ikmal Hisham berkata, beliau juga mengambil kesempatan menyantuni pengundi luar di Parlimen itu yang dianggarkan lebih 15,000 orang.
“Pengundi luar sudah mula balik kampung, jadi saya akan menyantuni mereka dan pada masa yang sama akan terus berjumpa dengan penduduk kampung.
“Saya harap mereka memberi peluang kepada saya untuk menjadi wakil rakyat Parlimen ini seterusnya meneruskan pembangunan di daerah ini,” katanya. – Malaysiapost

