Amaran Rafizi terhadap Azam Baki adalah ugutan kepada penjawat awam

0
3

AMARAN Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dengan mengatakan Pakatan Harapan (PH) akan ‘mencarinya’ jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai satu ugutan terbuka kepada penjawat awam.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan itu juga menunjukkan gabungan berkenaan sedia menyalahgunakan kuasa.

Menurutnya. kenyataan Rafizi itu menunjukkan kepimpinan PH menganggap mereka terkecuali daripada undang-undang dan tindakan penguatkuasaan.

“Ugutan Rafizi adalah pengakuan terbuka oleh beliau bahawa PH yang didominasi DAP mempunyai rancangan menyalahgunakan kuasa kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang hanya menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun berkata, penyalahgunaan kuasa sedemikian adalah kesalahan jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM.

Menurutnya, tindakan itu juga memberi kesan negatif kepada semua penjawat awam yang menjalankan tugas dengan jujur dan tanpa memilih kasih.

“Tidak pernah dalam sejarah negara, seorang pemimpin utama sebuah gabungan politik besar iaitu PH, membuat pengakuan terbuka akan menyalahgunakan kuasa untuk membalas dendam terhadap penjawat awam,” katanya.

Beliau menggesa kepimpinan tertinggi PH, termasuk calon Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan Rafizi itu.

“Adakah PH dan Anwar sedia menarik balik ugutan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM dan meminta maaf kepada semua penjawat awam?” soalnya.

Faizal turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ancaman Rafizi itu.

Terdahulu media melaporkan Rafizi dipetik berkata, PH akan “mencari” ketua pesuruhjaya SPRM kerana melakukan “pendakwaan terpilih” dengan menyerbu syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.

Dalam ceramahnya di Johor semalam, Rafizi mendakwa serbuan SPRM ke atas syarikatnya dilakukan atas arahan Barisan Nasional (BN) bagi menghalang beliau kembali ke Parlimen melalui pilihan raya umum. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here