JKM sedang kenalpasti lokasi baru PPS

0
2

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengenalpasti beberapa lokasi baharu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana bertindih dengan pusat pengundian pada Sabtu ini.

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, secara keseluruhan sebanyak 6,010 PPS disediakan di seluruh negara, namun 2,100 digunakan sebagai pusat pengundian.

Beliau berkata, usaha itu terpaksa dilakukan susulan beberapa negeri dilanda banjir ketika ini dan kebanyakan mangsa tidak dapat ditempatkan di PPS sedia ada kerana berlaku pertindihan.

“Mangsa banjir terpaksa ditempatkan di dewan orang ramai yang mempunyai keluasan terhad bagaimanapun kementerian akan memastikan semua mangsa banjir mendapat layanan yang baik dan ditempatkan di kawasan lebih selesa,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau PPS di Dewan Orang Ramai Dengkil, hari ini.

Rina berkata, JKM juga sudah melakukan persiapan awal sejak September lalu terutama dari segi logistik, bekalan makanan dan keperluan lain seperti khemah, selimut dan bantal.

Menurutnya, dianggarkan 3,000 pegawai dan kakitangan JKM akan diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan banjir di seluruh negara.

Mengulas situasi banjir di daerah Sepang terutama di Dengkil, beliau berkata, seramai 120 mangsa banjir kini ditempatkan di empat PPS di Dewan Orang Ramai Dengkil, Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, Dewan Taman Gemilang dan Dewan Komuniti Dengkil.

“Kita berharap air semakin surut namun, saya dimaklumkan tren air semakin menaik disebabkan hujan di sebelah Kajang.

“Bagaimanapun, JKM dan agensi lain berkaitan sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan jika keadaan bertambah buruk,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here