JUMLAH mangsa banjir di seluruh Malaysia setakat jam 4 petang tadi dilaporkan seramai 3,742 mangsa membabitkan 1,056 keluarga yang dipindahkan di di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan negeri yang terjejas.
Setakat ini lapan negeri yang terjejas adalah Selangor, Kelantan, Perak, Johor, Pahang, Sarawak, Negeri Sembilan dan Melaka

Berdasarkan infografik yang dikongsikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di laman Facebook rasminya, negeri Selangor paling ramai mangsa yang terjejas dan dipindahkan iaitu seramai 1,275 mangsa daripada 300 keluarga.
Kawasan di Selangor yang terjejas akibat banjir adalah Hulu Langat, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang.

Kelantan pula mencatatkan jumlah mangsa banjir kedua tertinggi membabitkan 1,114 mangsa daripada 386 keluarga di daerah Pasir Mas.
Banjir di Perak pula mencatatkan jumlah pemindahan mangsa seramai 593 orang daripada 168 keluarga membabitkan daerah Hilir Perak, Hulu Perak, Kerian, Larut, Matang dan Selama serta daerah Manjung dan Perak Tengah.
Johor mencatatkan mangsa seramai 310 orang daripada 77 keluarga membabitkan daerah Kluang, Segamat dan Tangkak.

Seramai 236 mangsa dipindahkan di Pahang membabitkan 70 keluarga di daerah Raub dan Sarawak pula merekodkan seramai 133 mangsa daripada 42 keluarga dengan hanya satu daerah terjejas iaitu Limbang.
Sementara itu Melaka mencatatkan seramai 48 mangsa daripada 13 keluarga di Alor Gajah, manakala Negeri Sembilan merekodkan seramai 33 mangsa daripada 10 keluarga yang terjejas di daerah Rembau. – Malaysiapost

