Asyraf Wajdi iltizam laksana pelbagai keperluan rakyat Gerik

0
2

CALON Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Gerik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberikan lima fokus atau iltizam jika diberi mandat menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno itu menggunakan pendekatan bertemu seberapa ramai pengundi daripada pelbagai demografik membabitkan Melayu, Cina, India, Orang Asli, Siam, pasukan beruniform dan sebagainya.

Menurutnya, daripada pertemuan itu pihaknya mendapatkan seberapa banyak maklum balas, harapan dan aspirasi masyarakat Gerik dan berjaya menggariskan lima keutamaan yang dinamakan sebagai lima teras memakmurkan Gerik.

“Lima teras ini adalah iltizam yang saya rasa perlu dilakukan segera dan harus menjadi keutamaan sekiranya saya diangkat dan dipilih pengundi di sini.

“Pertama berkenaan infrastruktur dimana harapan rakyat Gerik mahukan jalan-jalan utama, terutama jalan Gerik ke Jeli, Kelantan dan ke Lenggong, jalan kampung dan Felda dapat dinaik taraf serta diperbaiki,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Beliau berkata, jalan utama Gerik ke Jeli itu memang terlalu teruk dan sudah belasan tahun tidak dinaik taraf selain dilaporkan kerap berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut.

“Ini satu yang serius dan soal infrastruktur ini adalah keperluan asas yang perlu diberi keutamaan, disamping isu bekalan air dimana ada kampung-kampung yang masih bergantung sepenuhnya dengan air bukit dan capaian internet berkelajuan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, iltizam kedua membabitkan perkhidmatan kesihatan dimana penduduk mendambakan perkhidmatan kesihatan dinaik taraf supaya boleh mendapatkannya di Gerik.

“Penduduk seperti di Pengkalan Hulu tidak lagi perlu mendapatkan khidmat kesihatan seperti bersalin hingga ke Hospital Baling yang paling dekat. Sentimen tempat lahir juga menjadi isu apabila anak mereka adalah rakyat Perak tetapi terpaksa lahir di Kedah. Ini tidak boleh dipandang ringan dan merupakan harapan mereka.

“Di bandar Gerik hospital yang ada juga perlu dinaik taraf kerana banyak kes-kes kemalangan yang serius tidak boleh dirawat di Hospital Gerik hingga terpaksa merujuk hospital di Taiping atau Ipoh yang membabitkan lebih dua jam perjalanan,” katanya.

Menurutnya, iltizam ketiga membabitkan eko pelancongan dimana Gerik dikurniakan nikmat alam sekitar yang bersih, termasuk hutan simpan antara tertua di dunia iaitu Royal Belum serta tasik Banding dan Temenggor yang boleh dibangunkan potensinya.

“Jika dibangunkan secara holistik dan menyeluruh ia akan memberi pulangan ekonomi kepada masyarakat di Gerik. Anak muda tidak perlu berhijrah lagi ke luar dan boleh dapatkan sumber pendapatan lumayan daripada industri pelancongan.

“Jadi kita tidak perlu bangunkan Gerik dengan membina kilang baru atau membina kilang perindustrian kerana ia hanya akan mengganggu ekosistem flora dan fauna semula jadi. Kita bangunkan beri peluang pekerjaan, naik taraf ekonomi tanpa mengganggu alam sekitar,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, iltizamnya yang keempat adalah mengenai pendidikan khususnya pendidikan tinggi yang sangat diinginkan oleh rakyat Gerik.

“Saya berbincang dengan rakan-rakan termasuk Majlis Profesor Negara (MPN) kerana Gerik mempunyai keistimewaan alam sekitarnya. Apa salah sekiranya kita dapatkan kerjasama mengwujudkan kampus satelit universiti-universiti yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang berkaitan alam sekitar, ekologi dan biodiversiti.

“Mereka boleh menubuhkan institut penyelidikan dan pembangunan dalam aspek alam flora. Pada masa sama menawarkan kursus-kursus jangka pendek dan sederhana di peringkat sijil dan diploma,” katanya.

Sementara itu iltizamnya yang kelima adalah menaik taraf kemudahan rekreasi, sukan dan komuniti yang masih belum ada atau tidak sempurna yang sangat diharapkan anak muda.

“Hampir semua kampung saya sudah pergi, mendapati keadaan gelanggang futsal rosak dan padang tidak terurus yang mengekang anak muda untuk bersukan dan beriadah

“Penyediaan kemudahan Ini akan dapat mengelakkan anak muda daripada terjebak dalam aktiviti negatif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here