KENYATAAN Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Tuan Man mengenai Perikatan Nasional (PN) tidak didominasi oleh Bersatu menunjukkan bahawa gabungan tersebut tidak mempunyai parti yang dominan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perkara tersebut sekali gus membawa kepada ketidakstabilan sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan.
Katanya, pelbagai penafian yang dibuat oleh pemimpin tertinggi PN menunjukkan bahawa sedang berlaku pergolakan di dalam gabungan itu.
“Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim sudah menyatakan bahawa PN tidak didominasikan oleh Bersatu. Jadi, ini juga adalah satu perkara yang menarik. Kalau tidak didominasikan oleh Bersatu ertinya siapakah yang dominan dalam parti ini?
“Kalau mereka kata bersama-sama, saya rasa bahawa ini adalah resepi kepada suatu kerajaan yang tidak stabil lagi sekiranya mereka membentuk kerajaan.
“Penafian demi penafian telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin PN/Bersatu menunjukkan bahawa pergolakan itu sedang berlaku,” katanya pada satu sidang media, hari ini.
Ahmad Shabery turut menyeru para pengundi untuk tidak membazirkan undi mereka dengan membentuk kerajaan yang tidak stabil disebabkan pergolakan yang berlaku dalam PN.
“Jadi sebab itu, saya ingin menyeru kepada para pengundi semuanya. Kalau kita lihat, yang menjadi betul-betul pertarungan dalam pilihan raya ini hanyalah di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH).
“Bagi mereka yang tidak gemar kepada PH, pada suatu ketika dahulu mereka tertarik dengan PN dan sebenarnya mereka hanyalah membazirkan undi mereka.
“Saya menyeru sekali lagi dengan keadaan yang dilihat berlakunya kucar-kacir di barisan kepimpinan PN pada hari ini, maka janganlah bazir undi anda. Berikan sokongan yang kuat kepada BN, supaya inilah parti yang dapat membentuk kerajaan.
“Insya-Allah kita sudah melangkaui angka 112 sebagaimana yang kita tegaskan baru-baru ini dan ianya perlu dikukuhkan supaya undi-undi yang dianggap membazir itu tidak dibazirkan, untuk membolehkan parti-parti yang tidak digemari menerajui kerajaan selepas tanggal 19 haribulan,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan PAS menegaskan PN tidak didominasi Bersatu meskipun segala keputusan gabungan itu diumumkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenyataan itu membawa kepada dakwaan bahawa gabungan itu sedang bergolak dan akan membentuk kerajaan yang tidak stabil sekiranya diberi mandat. – Malaysiapost

