BARISAN Nasional (BN) akan terus berusaha untuk meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara.
Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata iltizam BN itu boleh dilihat dalam Perancangan Amal Dan Usaha (PADU) iaitu tawaran manifesto BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, PADU menjadikan pendidikan salah satu teras yang mesti diberi perhatian.
“Saya ingin mengucapkan selamat mengundi buat para pendidik semua. Selaku calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Padang Besar, saya mengajak para pendidik untuk sama-sama menyokong usaha memulihkan kembali negara dari kekacauan politik, ketidakstabilan dan ketiadaan hala tuju yang jelas buat negara.
“Ayuh kita berikan mandat kepada calon-calon Barisan Nasional untuk berkhidmat buat masyarakat Padang Besar,” katanya yang juga calon BN bagi Parlimen Padang Besar itu.
Zahida yang tidak boleh turun berkempen kerana masih dalam iddah berikutan kematian suami dua bulan lalu, menyeru para pendidik di Padang Besar mengundi BN menerusi hantaran klip video di Facebook miliknya, hari ini.
“Cikgu, 19 haribulan ini adalah penentu masa hadapan yang akan ditempuhi oleh anak-anak dan adik-adik kita. Itu adalah penentuan bagi tempoh 5 tahun mendatang.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang untuk negara dan membantu dalam mengeluarkan masyarakat kita keluar daripada kitaran kemiskinan melalui pendidikan.
“Saya Zahida Zarik Khan, Calon No.4 P001 Parlimen Padang Besar. Undi Barisan Nasional,” katanya. -Malaysiapost

