‘Wallahi, semua duit kerajaan saya belanjakan untuk rakyat’ – Muhyiddin

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk bersumpah bagi membuktikan beliau telus membelanjakan duit kerajaan untuk rakyat ketika mentadbir negara dalam tempoh pandemik Covid-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN)itu berkata, setiap wang yang dibelanjakan adalah mengikut peraturan kewangan ditetapkan.

“Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, bahawa PH akan menyiasat bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Muhyiddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pagoh, turut mencabar Adly untuk membuktikan beliau ‘mencuri’ wang rakyat.

“Oh, nak bukti kita belanja sewenang-wenangnya, berapa banyak bilion yang saya curi?

“Saya nak cabar Adly, buktikan, mana satu kes. Jangan cakap lepas pilihan raya (nak siasat kalau mereka menang), ini kerana dia bertanding di sana (Melaka), dia nak menang.

“Dia kata PN tak betul, dah rosak, macam dialah, parti dia pun ada kes rasuah, kami tak ada, jadi kalau nak mencemarkan nama baik, dia buat tuduhan yang tak betul,” katanya.

Terdahulu Adly berkata, PH akan menjalankan siasatan terperinci terhadap Muhyiddin kerana didakwa membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Beliau berkata, PH akan berbuat demikian sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada PRU15.

“Jika ada penyelewengan, kita akan ambil tindakan pendakwaan kerana ia adalah wang negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here