PRU15: Poster PM dibakar di Kedah

0
3

KEMPEN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang hanya berbaki beberapa hari dicemari dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan poster yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, perbuatan membakar poster tersebut dipercayai dilakukan awal pagi.

Beliau yang juga wakil kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Mashitah Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan perbuatan itu yang berlaku di Kampung Gelong Ayer, dalam Parlimen Kuala Kedah.

“Saya harap tiada lagi perbuatan seperti itu berlaku lagi selepas ini.

“Semua penyokong parti perlu berkempen secara berhemah dan elak melakukan provokasi yang boleh mendatangkan ketegangan ketika berkempen.

“Ada beberapa hari lagi sehingga hari pengundian Sabtu ini, jadi semua pihak diminta tidak terlalu agresif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian poster Perdana Menteri dibakar, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dibuat petugas BN pada jam 3 petang semalam yang menyedari poster di Kampung Gelong Air, Mukim Gunung itu mengalami kerosakan.

“Susulan itu polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membakar.

“Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang terbabit melakukan perbuatan membakar poster itu,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here