Ismail Sabri banyak pengalaman, calon PM paling sesuai – Annuar Musa

0
2

PENGALAMAN memegang pelbagai portfolio menteri menjadikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri yang terbaik untuk Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Malah, Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkata rekod baik yang ditunjukkan Ismail Sabri sepanjang dilantik sebagai Perdana Menteri juga tidak boleh dipertikaikan.

“Ismail Sabri bukan sahaja diterima oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), malah pembangkang dan parti-parti lain boleh menerima beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘PRU15 jangan tertipu lagi’ di Parlimen Padang Rengas malam tadi.

Sehubungan itu, Annuar berkata, kemampuan dan kelayakan Ismail Sabri tidak dapat diragui lagi sebagai calon Perdana Menteri terbaik jika BN menang pada pilihan raya kali ini.

Menurut Annuar, beliau yakin Ismail Sabri akan memimpin semula kerajaan dengan sokongan penuh oleh ahli Parlimen bukan sahaja daripada BN tetapi juga oleh pelbagai parti.

Sementara itu, Annuar sependapat dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pelantikan Perdana Menteri bahawa adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Pertama seseorang yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen tak kira parti apa.

“Kedua dia mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di mana satu daripada tiga perkara yang menjadi hak mutlak Baginda adalah untuk memperkenankan nama seorang Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong kita sangat berpengalaman sudah tentu dua-dua perkara itu akan berjalan serentak iaitu Baginda akan melantik seseorang yang pada Baginda mendapat sokongan majoriti,” kata Annuar.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksanaan untuk menentukan Perdana Menteri sekiranya BN menang pilihan raya pada Sabtu ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here