Anwar sedia dedah akaun PKR jika Muhyiddin buat perkara sama

0
2

DATUK Seri Anwar Ibrahim sedia mendedahkan penyata akaun PKR, dengan syarat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melakukan perkara sama.

Ia susulan cabaran yang dibuat Muhyiddin terhadap Anwar, supaya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menunjukkan penyata kewangan partinya, selepas menuduh PN sebagai parti politik terkaya.

“Saya selaku Presiden PKR menyatakan, saya sedia, esok kita boleh dedahkan akaun kita. Kamu dedahkan akaun parti kamu, akaun kekayaan kamu di Malaysia dan luar negara.

“Cakap banyak, isytihar harta pun tak berani,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Wangsa Maju, malam tadi.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini berikutan banyak memperoleh projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19.

Dakwa Anwar, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

Terdahulu, Muhyiddin mencabar Anwar mengemukakan bukti berkenaan dakwaan PN merupakan gabungan politik yang paling kaya ketika ini.

Menurut Presiden Bersatu itu, Anwar hanya membuat fitnah semata-mata tanpa mengemukan sebarang bukti.

“Dia kata PN parti paling kaya, tetapi apa buktinya. Kalau hendak buktikan, tunjuk akaun bank antara pemimpin PN dan PH. Anwar Ibrahim boleh tunjukkan tak?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here