Mangsa banjir di Kelantan dipindahkan, PPS dijadikan pusat mengundi

0
2

ENAM daripada lapan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir di Kelantan akan menjadi pusat mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata disebabkan PRU-15 pada Sabtu ini, semua mangsa yang berada di enam PPS itu dipindahkan.

“Mereka dipindahkan di lokasi yang sama tetapi bangunan berlainan yang sesuai kerana penempatan mangsa di PPS dan pusat mengundi perlu diasingkan.

“Ini kerana kita tidak mahu proses mengundi terjejas dan memastikan proses PRU-15 berjalan dengan baik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kelantan, hari ini.

Muhammad Zaki berkata pengangkutan kepada mangsa banjir yang mahu keluar mengundi juga sudah diatur.

Sementara itu, beliau berkata polis Kelantan membuka 10 kertas siasatan sepanjang tempoh 10 hari berkempen pada PRU-15 sehingga hari ini.

Katanya, polis juga menahan seramai tujuh lelaki berusia di antara 30-an hingga 50-an.

“Kes yang dilaporkan termasuklah kes khianat, fitnah, ugutan dan merusuh. Kes ini disiasat termasuk mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here