Zahid ingatkan penyokong BN jangan ulangi kesilapan 2018

0
1

BARISAN Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, bukanlah kerana kekuatan lawan tetapi kerana penyokong parti yang mengundi lawan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi catatan ‘Nukilan buat penyokong BN’ di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, perkara itu perlu dinyatakan bagi memastikan penyokong BN tidak mengulangi peristiwa hitam, 9 Mei 2018 berulang pada Sabtu ini.

“Sahabat semua. Realitinya BN tertewas pada PRU14 bukanlah kerana lawan BN kuat. Bukanlah juga semata-mata kerana undi penyokong mereka yang telah mengalahkan BN.

“Hakikat segelintir penyokong BN sendiri mengundi lawan pada 9 Mei 2018 juga antara sebab BN tertewas. Begitu juga hakikat sebilangan penyokong BN tidak keluar mengundi di saat BN amat memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, kumpulan itu adalah ‘rakan-rakan’ BN yang turut terpedaya dengan propaganda musuh terhadap pimpinan parti ketika itu.

Katanya, lebih malang lagi apabila mereka terlambat menyedari sudah tertipu kerana negara telah pun dikuasai oleh sebuah kerajaan gagal.

“Kerajaan yang terbentuk atas tipu daya dan tujuannya cumalah untuk ‘menamatkan’ BN serta pemimpinnya.

“Mengenakan pertuduhan politik ke atas pemimpin yang setia, manakala yang ‘melompat’ terlepas penganiayaan.

“Kerajaan gagal mengabaikan khidmat mengakibatkan kerosakan menghakis segenap kestabilan dan kemakmuran. Kerajaan tiada keberkatan itu namun tumbang dengan sendirinya angkara perebutan kuasa sesama mereka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya momentum kemuafakatan dikekalkan beliau yakin tiada apa dapat menyekat kebangkitan BN, Sabtu ini.

“Hakikat ini turut difahami lawan dan ini yang sedang mereka usahakan untuk memperdaya penyokong BN sekali lagi. Mereka mahu memecah-belahkan kemuafakatan keluarga BN membisikkan hasutan ke sanubari.

“Mengadu-domba tentang pemimpin BN agar sebilangan kita terpedaya dengan muslihat mereka kali kedua. Mereka juga tahu mereka sejak dulu tidak mampu untuk mengalahkan BN dengan kekuatan sendiri,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, satu-satunya cara untuk mereka mengalahkan BN dengan memanipulasi serta melemahkan kekuatan BN.

“Kekuatan BN iaitu dokongan, kesetiaan dan keyakinan para jutaan penyokongnya di serata tanah air.

“Musuh BN mengerti jika pengundi BN tidak berpadu seperti PRU14, maka mereka masih berpeluang menang,” katanya.

Ahmad Zahid juga mendakwa Perikatan Nasional (PN) diwujudkan dengan tujuan memecah-belah melemahkan kemuafakatan penyokong BN.

“PRU15 tentang masa depan negara. Bukan mana-mana pemimpin. Juga mengembalikan kerajaan berwibawa.

“Ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan kesepakatan kita sehati sejiwa memasang tekad mengundi BN. Pemimpin datang dan pergi, tetapi andalah penyokong BN yang akan menentukan kelangsungan parti ini.

“Ingatlah setiap undi anda beri kepada Pakatan Harapan (PH), anda memberi undi kepada DAP untuk kembali.

“Ingatlah setiap undi anda berikan untuk PN sekadar membazirkan undi yang seharusnya untuk kemenangan BN. Setiap undi anda kepada PN malah memanfaatkan PH dan DAP kerana undi untuk ‘kerajaan BN’ berjaya dikurangkan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya rakyat tidak mahu melihat kerajaan gagal kembali menguasai negara, pengundi harus bersatu memberi kemenangan kepada BN.

“Pastikan undi kita tidak berpecah dengan memahami BN sebagai sebuah gabungan yang wajib dimenangkan.

“Empat tahun telah berlalu jangan ada penyokong BN terkhilaf lagi kerana PRU15 penentu masa depan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here