PERATUSAN undi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya merekodkan peningkatan apabila mencatatkan sebanyak 94.7 peratus berbanding hanya 83 peratus pada PRU14.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mereka yang terdiri daripada anggota tentera, polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal sejak jam 8 pagi.
“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, har ini.
Beliau berkata, SPR juga merakam penghargaan dan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Penghargaan dan terima kasih juga kepada Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR,” katanya.
Semalam, SPR memaklumkan sejumlah 224,828 pengundi awal dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di 578 Pusat Mengundi Awal.
SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian PRU15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah. – Malaysiapost

