PAS menyifatkan Umno punca kegagalan kedua-dua parti itu membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kegagalan Umno melakukan pemilihan parti sekali gus menukar pucuk pimpinan yang bukan di kalangan ‘kluster mahkamah’ menyebabkan usaha membentuk kerjasama kedua-dua parti terbantut.
Tanpa menyebutkan nama, Abdul Hadi turut memberi gambaran Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menjadi dalang kegagalan kedua-dua parti berada dalam satu pasukan pada PRU15 ini.
“Itu berdasarkan kepada sebelum PRU, Parlimen belum dibubarkan. Kita tunggu Perhimpunan Agung Umno, buat perhimpunan ubah pemimpin Umno. Malangnya tak boleh buat perubahan itu. Pemimpin yang itu juga, ini yang menjadi masalah.
“Jadi kenyataan yang awal Takiyuddin itu berdasarkan yang itu,” katanya pada sidang media ketika berkempen di Port Dickson, hari ini.
Abdul Hadi yang bakal mempertahankan kerusi Parlimen Marang berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kesediaan PAS bergabung dengan BN selepas PRU15 ini.
Abdul Hadi menambah, beberapa pemimpin ‘heavyweight’ BN tidak dicalonkan bertanding pada PRU15 kerana telah ‘disusun’ sendiri oleh Presiden Umno yang memasang strategi kemungkinan akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas keputusan PRU15, 19 November ini.
“Ada pun pilihan raya ni banyak pemimpin Umno kena cantas. Annuar Musa dicantas, Shahidan Kassim dicantas, Adham Baba, Noh Omar dicantas banyak yang dicantas.
“Ambil yang sebulu dengan dia, yang boleh selamatkan kes-kes mahkamah dia. Mungkin berita BN nak gabung dengan PH ada juga kebenaran. Dia pilih orang-orang yang boleh gabung dengan PH dalam Umno. Ini malang,” katanya.
Justeru, Abdul Hadi menyeru rakyat untuk tidak memberi undi kepada BN dan PH, sebaliknya memilih Perikatan Nasional (PN) yang calonnya bersih daripada pendakwaan kes mahkamah.
“Sebab itu kita minta rakyat tolak BN dan PH, pilih kami (PN). Percaya kepada kami.
“Pada zahirnya tak ada kes mahkamah, tak ada kes apa. Baik tak baik tuhan saja yang tahu. Kita tengok pada yang zahir sahaja. Mereka ada kes mahkamah. Kita terima yang tak ada kes mahkamah saja,” katanya. – Malaysiapost

