PRU15: Banjir meruncing, penduduk tiada ‘mood’ keluar mengundi

0
2

KEADAAN banjir yang semakin meruncing di Rantau Panjang, Kelantan menyebabkan pengundi di kawasan berkenaan mengakui tiada ‘mood’ untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Pengundi, Roshidariza Abdullah, 36, berkata, dia terpaksa berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) malam tadi selepas rumahnya di Kampung Kusar, mula dinaiki air sehingga melimpah ke dalam kediamannya.

Jelasnya lagi, kejadian itu menyebabkan penduduk kampung kepenatan kerana terpaksa membersihakan rumah selepas air surut, sehingga tidak sempat memikirkan hal mengundi Sabtu ini.

“Ujian kami yang perlu berhadapan dengan banjir sangat besar, tiada ruang untuk kami berbincang tentang parti mahu dipilih. Buat masa sekarang apa yang diharapkan ialah pemimpin datang menjenguk kami yang dalam kesusahan.

“Bagaimana pun, saya akan cuba keluar mengundi pada 19 November ini memandangkan ia menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat.

“Dalam masa yang sama berharap banjir segera pulih agar saya sekeluarga dapat pulang ke rumah terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, bagi Zailani Hassan, 43, dia terpaksa melupakan dahulu semangat untuk menghias pos sepanjang berkempen kerana rumahnya dinaiki banjir sejak tiga hari lalu.

“Saya berharap agar banjir reda supaya dapat keluar mengundi seperti PRU sebelum ini, tambahan pula PRU kali ini adalah peluang terbaik untuk kami memilih pemimpin yang benar-benar layak,” katanya.

Dalam pada itu, Zailani berkata, waktu banjir inilah penduduk boleh menilai pemimpin yang mana yang benar-benar ‘buat kerja’ serta turun padang membantu rakyat.

“Sepatutnya, calon bertanding mengambil peluang mendekati rakyat ketika dalam musibah ini, biar kami boleh lihat mana pemimpin yang benar-benar boleh susah dan senang bersa rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here