MUSUH Umno dan Barisan Nasional (BN) digesa menghentikan pertikaian mengenai ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, calon Perdana Menteri gabungan itu ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti mana diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, pihak lawan sengaja mencipta naratif yang mengelirukan sekali gus menimbulkan konflik dalam Umno dan BN.
“Jadi saya harap kepada pihak yang cuba bermain isu ini hendaklah menghentikan, usaha-usaha yang dilakukan untuk memecah belahkan parti Umno.
“Apa yang disebutkan begitu jelas sekali, iaitu Presiden sendiri bercakap dan memaklumkan berkali-kali terhadap keputusan yang dibuat,” katanya dalam klip video di Facebook.
Menjelang hari mengundi 19 November ini, pembangkang memperhebatkan kempen mereka dengan menyentuh siapakah Perdana Menteri sebenar BN.
Malah, pembangkang mendakwa Ismail Sabri tidak akan menjadi Perdana Menteri kerana Ahmad Zahid akan diumumkan untuk jawatan itu sebaik sahaja BN menang PRU15 ini.
Bagaimanapun, Umno dan BN menangkis naratif itu dengan menegaskan ketetapan telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sebulat suara menyokong Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’. – Malaysiapost

