Asyraf Wajdi garis 5 teras memakmurkan Gerik

0
2

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggariskan lima teras yang menjadi asas kepada komitmennya untuk memakmurkan Gerik.

Lima teras yang menjadi iltizam Ketua Pemuda Umno itu hasil maklumat pertemuan dengan rakyat pelbagai latar belakang sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, teras pertama berkaitan infrastruktur termasuk memulih dan menaik taraf jalan utama Gerik ke Jeli dan Lenggong; menyelesaikan bekalan air dan meningkatkan capaian internet berkelajuan tinggi.

Teras kedua, katanya, adalah daripada segi kesihatan dengan mewujudkan Pusat Kesihatan Ibu dan Anak di Pengkalan Hulu selain menaik taraf kemudahan Hospital Gerik.

Beliau berkata, Hospital Gerik memerlukan tambahan doktor pakar bagi menyediakan khidmat kesihatan yang optimum kepada penduduk.

“Mewujudkan kampus satelit yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan bidang berkaitan pelancongan, keusahawanan dan pertanian yang menawarkan program jangka pendek serta sederhana adalah teras ketiga,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Manakala teras keempat pula, menurut Asyraf Wajdi, beliau akan memfokuskan pengembangan potensi eko pelancongan di Parlimen itu.

“Saya akan memanfaatkan khazanah alam sekitar seperti Gunung Kenderong dan Kerunai (Awan Nano), Hutan Simpan (Taman Negeri Belum) dan Gua Gendang bagi meletakkan Gerik dalam peta pelancongan nasional sekali gus merancakkan aktiviti sosio ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata, teras terakhir adalah mewujudkan Pusat Sukan Komuniti dan Belia, membaik pulih kemudahan sukan sedia ada seperti padang bola, gelanggang futsal, badminton dan kawasan rekreasi keluarga.

Menurutnya, dengan kewujudan komuniti unik pelbagai kaum, biodiversiti dan geografi unik, Gerik berkemampuan menjadi peneraju koridor ekonomi Hulu Perak Utara sekiranya memiliki sumber manusia dan infrastruktur yang mencukupi.

“Insya Allah, dengan keyakinan dan amanah yang bakal diberikan oleh penduduk Gerik kepada saya di bumi yang indah ini, saya akan menggalas dan memenuhi kelima-lima teras komitmen bagi memakmurkan Gerik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here