PROJEK Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bukti komitmen kerajaan membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada secara lebih terancang dan sistematik bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata projek tersebut akan memastikan pembangunan sosioekonomi dapat dilaksana dengan lebih baik bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh rakyat di Sarawak.
“Secara keseluruhannya, projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik keseluruhan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,046 kilometer (km).
“Keseluruhan jajaran ini dinaikkan taraf kepada empat lorong dua hala sepanjang 192km di bawah rancangan pembangunan lima tahun negara manakala baki sepanjang 862km akan dilaksanakan dalam dua fasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak Jejambat Selangau, Sibu, hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan persekutuan sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan di Bumi Kenyalang yang dibuktikan dengan pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.
Tambahnya, kerajaan juga menambah dua lagi projek mega di utara negeri itu iaitu Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).
Perdana Menteri berkata, kedua-dua projek mega itu bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya.
“Pilihan pertama, pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui Negara Brunei Darussalam, boleh menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96km yang bakal ditambah baik kepada dua lorong dua hala.
“Pilihan kedua, pengguna jalan raya dari Miri boleh ke Limbang dan Lawas tanpa melalui Negara Brunei Darussalam menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km. Ia merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sejauh 77km,” ujarnya.
Tambah beliau, projek mega yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion itu, membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa. – Malaysiapost

