TULAR video memaparkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang dihalau dipercayai ketika cuba berkempen di kawasan yang ditandinginya.
Menerusi video berdurasi 1 minit 29 saat yang tular di media sosial, kejadian itu berlaku ketika bekas Menteri Pendidikan berkenaan tiba di sebuah dewan dalam kawasan Simpang Renggam.
Ketika Maszlee sampai di pintu pagar dewan berkenaan, seorang lelaki dilihat ‘naik angin’ sebelum menjerit ke arah calon PH tersebut dengan nada keras menyuruhnya beredar dari kawasan berkenaan.
Maszlee dilihat cuba menjelaskan mengenai perkara yang dilakukan dan dibantunya sepanjang menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.
“Bantu apa,,bantu apa? Pembohong lah kau, ‘kaki kencing’…kencing,” jerit lelaki berkenaan sambil dikawal dan ditenangkan dua anggota polis yang dilihat turut berada di lokasi berkenaan.
Selepas lelaki itu ditenangkan, datang seorang lagi lelaki yang juga tidak membenarkan Maszlee berkempen di kawasan terbabit dan memintanya beredar.
“Kita ikut undang-undang, malam tadi sudah cakap, politik tidak dibenarkan datang (berkempen di dewan itu),” kata warga emas itu.
Dalam video itu juga Maszlee dirakam cuba memaklumkan bahawa banyak yang sudah dilakukan di Simpang Renggam termasuk menyelesaikan masalah air dan sampah selain membawa restoran makanan segera di kawasan berkenaan.
Maszlee kemudian memberitahu masyarakat di kawasan itu mengenalinya dan sentiasa bersama mereka sama ada susah atau senang.
Maszlee memenangi parlimen Simpang Renggam pada 2018 dengan 18,157 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Lian Teck Meng (Barisan Nasional) yang meraih 14,682 undi, manakala Mohd Jubri Selamat (PAS) mendapat 2,983 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, Maszlee akan berdepan Pengerusi Umno dan BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, Mohd Fazrul Kamat (Perikatan Nasional) serta Kamal Kusmin (Gabungan Tanah Air). – Malaysiapost

