PRU-15: Tiada lagi tsunami politik – Tok Mat

0
2

BARISAN Nasional (BN) tidak mahu kejadian ‘tsunami’ politik berlaku lagi hingga Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyifatkan situasi pada pilihan raya kali ini lebih tenang berbanding sebelum ini.

“Dulu memang ada gelombang atau dikenali sebagai tsunami. Sekarang tiada dan ia jelas sekali.

“Dulu di kedai kopi sampai bertengkar sebab masing-masing mahu menangkan pendirian. Rasanya untuk PRU-15 lebih tenang,” katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno dan lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, pada PRU-14 ketegangan antara parti yang bertanding boleh dirasai, malah di kedai kopi penyokong pun bertelagah mengenai politik.

Dalam PRU-14 pada 2018, PH memenangi 121 daripada 222 kerusi Parlimen, sekaligus menamatkan pemerintahan BN sejak Merdeka pada 1957.

Bagaimanapun, PH kemudian digulingkan pada Februari 2020 apabila BN, Bersatu, PAS, dan segelintir pemimpin PKR bergabung membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan diketuai Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, diminta mengulas sama ada Umno kini bersikap terbuka, Tok Mat berkata ia tidak dapat dielakkan.

“Umno ini parti. Sebagai sebuah parti kita perlu sentiasa ikut perubahan. Parti tidak boleh terlampau rigid dan perlu ada dinamik mengikut persekitaran kita. 

“Kalau tidak, nanti orang akan ubah kita. Jadi kita perlu ubah diri kita. Cari dinamik bagaimana kita mahu ubah,” katanya.

Beliau berkata, ia terpaksa dilakukan biarpun mereka terpaksa ‘korbankan ramai panglima perang’ untuk memberi laluan kepada muka baharu.

“Kalau tidak, bila masa kita mahu beri mereka (muka baharu) peluang (untuk memimpin)?” katanya.

Sebelum ini, BN menggugurkan beberapa nama besar pada PRU15 termasuk Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Dr Adham Baba, Tan Sri Noh Omar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, dan Datuk Halimah Sadique.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut digugurkan serta digantung keahliannya selama enam tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here