BANJIR besar yang melanda negara pada Disember 2021 yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda pasti masih diingati terutama mangsa yang terjejas.
Antara kisah yang mendapat mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia ketika itu adalah mengenai Rohana Mahfuz, 76, yang kehilangan rumah pusaka keluarganya yang hanyut dalam kejadian banjir itu.
Gambar warga emas terbabit yang duduk sayu di tapak rumah pusaka berusia 53 tahun yang hanya tinggal tangga sahaja menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.
Kini nenek Rohana kembali tersenyum apabila kediaman baharunya telah siap hasil sumbangan pendakwah bebas, Ebit Lew.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Ebit berkongsikan gambarnya bersama Rohana di hadapan rumah baharu terbabit.
“Ziarah Nenek Rohana yang rumahnya hanyut banjir cuma tinggal tangga di Hulu Langat. Kami bantu bina semula rumah baru. Hadiahkan rumah baru untuknya.
“Menangis nenek tadi ucap terima kasih dan memberi semangat baru untuknya. Beliau lemah masa tu dan tak kuat. Kini menangis terharu melihat kasih sayang Allah padanya.
“Bersungguh-sungguh ajak saya datang bawa keluarga mandi-mandi sungai di belakang rumahnya,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Ebit juga turut berterima kasih kepada kontraktor, ASL Construction Malaysia yang menyiapkan rumah wanita tersebut serta Pertubuhan Kasih Umat Malaysia.
“Terima kasih semua adik beradik yang sangat baik, jiran tetangga dan masyarakat Malaysia yang baik. Syukur kita bersama dapat menggembirakan seorang wanita seperti mak kita.
“Ya Allah berilah kesihatan buat Nenek Rohana dan bahagiakan hatinya dan jagalah dirinya sentiasa. Terimalah sedikit usaha kami ini. Hanya RedhaMu yang kami harapkan,” katanya. – Malaysiapost

