Gerik kembali ‘putih’ – Saarani

0
3

MENTERI Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yakin kerusi Parlimen Gerik kini telah kembali ‘putih’ selepas isu penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, kawasan berkenaan mungkin dianggap ‘kelabu’ sebelum penamaan calon, susulan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang diumumkan bertanding kerusi berkenaan bukan orang tempatan.

“Dulu mungkin oleh kerana katanya ada sedikit kekecohan kerana calon yang dibawa sebagai calon BN parlimen itu bukan orang tempatan.

“Itu waktu sebelum penamaan calon. Tapi, kekecohan itu berjaya ditangani.

“Saya percaya terdahulu orang kata ia ‘kelabu’, kerana ada kekecohan tapi sekarang saya percaya ia sudah ‘putih’,” katanya di Tapah, Perak hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang meramalkan parlimen Gerik sebagai kerusi ‘kelabu’ kerana Asyraf Wajdi menerima tentangan ahli Umno kawasan berkenaan.

Mohamed Nazri sebelum ini juga menyifatkan kawasan parlimen Gerik dan Pasir Salak sebagai ‘kerusi masalah’ dari segi faktor calon.

Asyraf Wajdi yang merupakan ketua Pemuda Umno diletakkan sebagai calon di kawasan bagi mempertahankan kerusi dimenangi Allahyarham Datuk Hasbullah Osman pada PRU-14. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here