TINDAKAN pemimpin PAS yang menggunakan agama termasuk menentukan syurga dan neraka pengundi ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dianggap keterlaluan.
Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan tidak sewajarnya menjadikan isu agama sebagai bahan kempen untuk meraih undi.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman, berkata kenyataan berkenaan boleh mengelirukan dan memecah-belah perpaduan sesama Islam.
“Kita orang Islam tidak berhak mengkafirkan sesama Islam, kita tidak diberi lesen atau tauliah oleh Allah untuk mengkafirkan orang.
“Tidak sesuai isu agama dijadikan bahan politik… dia tak berapa cerdik yang mana saya ingat dia cakap merapu.
“Orang yang tidak tahu agama pun tak sanggup kata begitu apatah lagi mereka yang belajar agama,” katanya hari ini.
Beberapa hari lalu, tular rakaman video memaparkan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dalam ceramah kempennya mengeluarkan hukum sesiapa mengundi BN dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.
Susulan penyebaran video berdurasi 28 saat itu, beliau menerima kritikan daripada pelbagai pihak dan semalam, Mohd Shahiful dalam satu kenyataan, memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu ‘undi BN dan PH masuk neraka’.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kes berkenaan tidak wajar diperbesarkan apatah lagi individu terbabit sudah membuat permohonan maaf di atas keterlanjurannya membuat kenyataan sedemikian.
“Saya difahamkan individu yang membuat kenyataan sedemikian telah memohon maaf apabila berlaku khilaf dalam pandangan dia.
“Jadi, saya rasa tidak wajar untuk kita panjang-panjangkan dalam keadaan beribu penceramah yang ada (dan) akhirnya hanya seorang lakukan, itu pun sudah minta maaf,” katanya. – Malaysiapost

