PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno mengingatkan semua ahli dan kepimpinan dalam gabungan Barisan Nasional (BN) agar memberi fokus dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Beliau berharap tumpuan diberikan kepada kawasan yang ditandingi untuk memastikan setiap calon BN yang bertanding dapat menyumbangkan kerusi kepada gabungan itu untuk membentuk kerajaan.
“Jadi saya harap perkara-perkara lain diketepikan dahulu kerana yang pentingnya solidariti di dalam Umno dan BN mesti ditonjolkan.
“Kerana rakyat sedang melihat dan rakyat akan buat pelbagai spekulasi kalau kita dilihat tidak bersama-sama dalam menghadapi pilihan raya ini,” katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Papan di Kuala Bera, hari ini.
Ismail Sabri yang juga calon BN Parlimen Bera, berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah meningkatkan keyakinan rakyat kepada BN untuk menjadikan gabungan itu parti yang dominan selepas PRU-15.
“Apa pun yang kita buat yang penting adalah menjaga nama baik parti dan tingkatkan keyakinan rakyat kepada parti untuk BN menang dan jadi parti yang dominan selepas pilihan raya nanti. Itulah cita-cita dan sasaran kita,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, saling berbalas kenyataan di media khususnya mengenai isu pencalonan Khairy di kawasan berkenaan.
Khairy secara terbuka mengakui terpaksa mencari sendiri kerusi Parlimen yang akan ditandinginya selepas dia diminta mengosongkan kerusi Parlimen Rembau.
Ahmad Zahid dalam responnya pula meminta Khairy menumpukan usaha memenangkan kerusi Sungai Buloh sambil mengakui bekas Ketua Pemuda UMNO itu sendiri yang meminta untuk bertanding di kerusi itu.
Sementara itu, dalam perkembangan mengenai proses PRU-15 setakat ini, Perdana Menteri berpuas hati kerana ia berjalan lancar dan terkawal.
“Isu membabitkan provokasi, pergaduhan dan sebagainya tidak berlaku secara amnya di seluruh Malaysia keadaan terkawal.
Tiada kejadian tidak diingini berlaku dan saya harap perkara ini dapat berterusan. Keharmonian semasa berkempen ini saya harap dapat diteruskan sehingga 19 November ini dan selepas keputusan diumumkan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, pilihan raya hanya berlangsung selama dua minggu dan selepas itu kehidupan kembali seperti biasa.
“Jadi janganlah dua minggu ini yang memecah belahkan antara kita, terutamanya dalam masyarakat setempat.
“Seperti di Bera ini memang ada penyokong-penyokong pelbagai parti walaupun tidak ramai tetapi yang pentingnya selepas 19 November ini kita balik bertaut seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost

