BAYI lelaki berusia 17 bulan yang cedera akibat dihempap pokok bersama ibunya dalam kejadian di Pantai Puteri, Melaka semalam, dilaporkan meninggal dunia setelah lebih enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.
Khabar duka itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Puteri, Tuminah Kadi menerusi hantaran di Facebooknya.
Menurutnya, beliau dihubungi pihak hospital pada jam 1.30 pagi yang memaklumkan berita sedih tersebut dan berharap ibu bapa serta keluarga mangsa tabah dengan dugaan itu.
“Adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang penciptanya sebentar tadi.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” tulisnya.
Terdahulu, media melaporkan lima beranak yang sedang berkelah di pantai berdepan detik cemas selepas dua daripada mereka termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera dihempap sebatang pokok ru di Pantai Puteri, Tanjung Kling.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam itu mengakibatkan seorang bayi lelaki dan ibunya dihempap pokok yang tumbang. – Malaysiapost
Kredit Foto: Twitter

