MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau berada dalam parti yang tepat dalam meneruskan karier politiknya.
Khairy berkata demikian bagi menjawab kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memuji mutu kerjanya namun berada dalam parti yang salah.
“Saya berada dalam parti yang tepat, terima kasih pada Tan Sri Muhyiddin kerana beri komen yang baik terhadap mutu kerja saya.
“Saya telah kerja kuat semasa beliau lantik saya sebagai menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, jadi beliau tahu apa yang saya boleh buat.
“Soal parti ni kita boleh setuju atau tak setuju. Saya dalam BN, beliau Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada media hari ini.
Semalam Muhyiddin mengakui Khairy layak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri suatu hari nanti berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan sebagai menteri.
“Saya fikir mungkin bukan satu cakap kosong. Dia seorang tokoh yang bagus, malah dalam Kabinet saya pun dia antara orang yang dipercayai.
“Dia menguruskan soal Covid-19 dan sebagainya dengan baik, ada masa depan yang baik, cuma dia ada dalam parti yang salah.
“Tapi tak mengapalah, semua orang mempunyai cita-cita untuk jadi apa sekalipun. Tak perlu tanya kenapa kau nak jadi PM? Itu impian dia. Tapi bila masanya?,” kata Pengerusi PN itu.
Sebelum ini, Khairy menyatakan hasratnya untuk memimpin Umno dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti. – Malaysiapost

