MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung kenyataan fitnah.
Surat tuntutan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Rafizi melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS memberi tempoh tujuh hari kepada Rafizi untuk memohon maaf dan mencadangkan jumlah ganti rugi kepadanya.
Tuntutan itu dibuat setelah Rafizi didakwa memfitnahnya dalam isu kontrak tebatan banjir Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) bernilai RM2 bilion.
Menurut surat tuntutan itu, Rafizi mengeluarkan penyataan itu pada 7 dan 9 November lalu dalam sidang media, media sosial, laman webnya dan laman web PKR.
“Firma kami juga diarah oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa tindakan kamu mengeluarkan penyataan-penyataan fitnah tersebut telah dibuat dengan niat jahat dan didorong oleh dendam, permusuhan peribadi dan/atau motif yang tidak wajar dan/atau tidak lebih dari sekadar satu tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi anak guam kami di mata masyarakat demi kepentingan peribadi dan politik,” menurut surat tersebut.
Rafizi sebelum ini medakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat milik individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.
Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber kerajaan bahawa usaha meluluskan segera projek itu bawah pentadbiran kerajaan sementara sebagai timbal balas selepas menerima dana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan itu dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara kerana ia bertentangan dengan pekeliling perbendaharaan.
Susulan itu, Tuan Ibrahim mencabar Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika mempunyai bukti.
Katanya, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga menuntut Rafizi mengeluarkan aku janji untuk tidak menerbitkan lagi kenyataan serupa dalam tempoh tujuh hari.
Firma itu juga berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang dan/atau mendapatkan perintah injunksi, jika Rafizi tidak mengendahkan tuntutan itu. – Malaysiapost

