KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar, (KPLB) menyalurkan peruntukan berjumlah RM15.5 juta bagi memanfaatkan 15 kampung di Pahang.
Dana itu bagi membolehkan projek daripada enam sektor ekonomi utama iaitu perkhidmatan, pelancongan, pertanian, penternakan, pembuatan dan peruncitan dilaksanakan dengan efisien.
Timbalan Menteri 1, Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata peruntukan di bawah Projek Desa Lestari itu memberi manfaat kepada 4,500 orang komuniti setempat dalam penyediaan peluang pekerjaan.
Katanya, seramai 1,180 orang komuniti kampung termasuk Ketua Isi Rumah (KIR) pula menganggotai koperasi yang mampu memberi pulangan dalam bentuk dividen kepada ahli-ahlinya.
“Dari sudut pencapaian pula sejumlah RM9.5 juta telah dijana oleh 15 kampung terbabit.
“Kampung Sri Makmur, Pekan, antara kampung yang meraih pendapatan tertinggi sebanyak RM3.7 juta sejak 2015 sehingga 2021 dengan purata pendapatan setahun adalah sebanyak RM528,000,” katanya ketika merasmikan Program Cakna Komuniti di Lipis hari ini
Tambahnya, Pahang adalah negeri kedua tertinggi menerima peruntukan di bawah Program Desa Lestari dalam usaha kerajaan merapatkan juang sosio ekonomi antara bandar dan luar bandar.
Tambah beliau, kerajaan amat berbangga dengan pencapaian setiap kampung di bawah program Desa Lestari sekali gus membuktikan KPLB sentiasa menyalurkan peruntukan yang diterima dalam belanjawan setiap tahun untuk peningkatan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar.
“Selain ekonomi, tumpuan utama KPLB adalah merapatkan jurang digital di luar bandar.
“Bagaimanapun, ia tidak mudah dilakukan segera memandangkan topografi luar bandar yang pelbagai selain terdapat halangan dan cabaran seperti akses ke kawasan luar bandar dan prasarana kurang sempurna seperti bandar,” katanya.
Sehubungan itu, koperasi yang telah menyertai Program Desa Lestari berpeluang mendigitalkan perniagaan dan memasarkan produk secara dalam talian melalui Program Desamall@KPLB dengan kerjasama platform terkemuka seperti Shopee, Lazada dan sebagainya. – Malaysiapost

