Calon BN Alor Gajah ingin bawa era lebih positif

0
4

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan ingin membawakan satu era lebih positif di kawasan ditandingginya berbanding calon lain yang antaranya sudah diberi peluang berkhidmat di Alor Gajah.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno, tidak menafikan saingan empat penjuru di Parlimen Alor Gajah turut membabitkan dua calon berstatus ‘gergasi’ dan dikenali penduduk setempat berbanding dirinya.

“Sudah tentu kedua-dua calon berkenaan sudah ada titik sentuhan kepada rakyat di Alor Gajah berbanding saya, tetapi saya memujuk pengundi untuk melihat rekod, dimana kedua-dua calon ini adalah calon ‘gergasi’ yang dikenali, tetapi mereka juga sudah ada peluang berkhidmat kepada rakyat Alor Gajah.

“Jadi saya tanya rakyat Alor Gajah dengan rasa rendah hati dan diri adakah jumlah pekerjaan bertambah dalam tempoh mereka diberikan peluang untuk berkhidmat, adakah pembangunan sewajarnya sampai ke Alor Gajah apabila mereka diberi waktu untuk berkhidmat, adakah isu air menjadi lebih baik atau lebih buruk dalam tempoh mereka berkhidmat?

“Kalau nampak jawapannya tidak berapa positif, apa salahnya beri peluang kepada parti dan calon yang baharu untuk kembalikan satu era dimana kita boleh lebih positif tentang keadaan di Alor Gajah ini,” katanya ketika ditemui di program ‘walkabout’ bersama penduduk Taman Sebang Gemilang, Alor Gajah, hari ini.

Shahril Sufian Hamdan bersama penduduk di Alor Gajah.

Beliau mengulas mengenai peluangnya berdepan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan penyandang kerusi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mewakili Perikatan Nasional (PN), selain turut berdepan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Nazriq Abdul Rahman.

Ditanya mengenai sokongan dan kerjasama daripada parti komponen BN lain terhadapnya yang juga ‘muka baharu’ dalam pilihan raya, Shahril mengakui kagum dengan kebesaran jiwa pemimpin-pemimpin BN di Alor Gajah.

“Satu perkara yang saya belajar sepanjang tempoh berkempen ini adalah kebesaran jiwa pemimpin-pemimpin BN di Alor Gajah ini tidak kira Umno, MCA dan MIC.

“Kita tahu ini kerusi tradisi MCA tetapi kalau lihat bukan hanya jadual saya, tetapi boleh tengok sendiri yang kuat berkempen dengan saya adalah semua ketiga-tiga parti dan juga Friends of BN, semuanya membantu,” katanya.

Shahril juga tidak hanya menumpukan kempen kepada kumpulan atau kawasan pengundi tertentu sahaja, sebaliknya cuba menyantuni dan meraih undi daripada semua golongan.

“Saya lihat dalam pilihan raya ini satu undi sama nilainya. Jadi kita tidak boleh nak fokus hanya pada orang muda, atau hanya pada Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu.

“Parlimen Alor Gajah mempunyai 93,000 pengundi yang datang dari segenap julat umur. Sebagai calon wajib kita untuk menyentuh dan memberi keyakinan kepada semua, jadi saya meraih undi daripada semua,” katanya.

Sementara itu, jika diberi mandat beliau akan menumpukan terhadap beberapa perkara terutama dalam membawa lebih banyak pembangunan dan peluang pekerjaan serta memartabatkan kebudayaan dan adat rakyat di Alor Gajah.

“Ada rakyat di Alor Gajah yang mendambakan pembangunan dan peluang pekerjaan seperti di daerah lain. Mungkin secara berseloroh dan mungkin ada seriusnya, Alor Gajah ini menjadi daerah yang berkorban untuk daerah lain kerana menjadi kawasan tadahan air untuk negeri Melaka.

“Apa salahnya kalau bangunkan Alor Gajah ini untuk menjadi satu tempat ada peluang pekerjaan dan pilihan lain untuk rakyat di sini.

“Selain itu ada potensi memartabatkan kebudayaan dan adat yang ada di Alor Gajah ini yang diraikan oleh semua kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here