PEMAIN skuad Lang Merah berharap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mempertimbang kembali hasrat meletak jawatan berkuatkuasa Khamis ini.
Ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, berkata dia dan rakan sepasukan tidak bersetuju dengan hasrat itu kerana kehadiran Muhammad Sanusi telah menyuntik semangat dan mengembalikan momentum pasukan untuk bersaing dalam Liga Malaysia.
Katanya, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar membantu KFA dan berusaha menyelesaikan hutang yang membebani persatuan sejak menerima jawatan tersebut pada 12 Julai lalu.
“Saya dan rakan sepasukan sesekali tidak setuju dengan tindakan Presiden KFA. Kami sedih sebab beliau hadir mengambil alih pasukan yang dibebani hutang. Beliau banyak menyelesaikan masalah dihadapi pasukan sebelum ini
“Kami mengharap beliau menarik balik kenyataan untuk meletak jawatan sebab berita seumpama ini merencatkan semangat kami. Saya sendiri yakin beliau seorang yang minat untuk mengendalikan pasukan bola sepak di negeri ini,” katanya menerusi Facebook KFA.
Baddrol berkata, Presiden KFA juga boleh menerima pendapat dan pandangan daripada pihak pengurusan dan pemain. – Malaysiapost

