KPD Petaling Jaya jalani kuarantin mulai hari ini

0
2

Nurul Huda Abhar

KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menjalani proses kuarantin kendiri bermula hari ini.

Ia susulan daripada beliau mempunyai kontak rapat dengan seorang pegawai perubatan daerah Petaling yang disahkan positif Covid-19.

Menerusi satu hantaran di Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee telah bertemu dalam beberapa siri mesyuarat dan perbincangan bersama pegawai perubatan tersebut mengenai perancangan dan operasi Covid-19.

“Pegawai perubatan itu telah hadir bermesyuarat dengan pengurus keselamatan Tropicana yang disahkan positif Covid-19 pada hari ini.

“YDH Supt. Ku Mashariman Ku Mahmood Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya akan memangku tugas sebagai Ketua Polis Daerah sehingga keputusan dikeluarkan oleh pihak KKM,” hantarannya hari ini.

Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling dalam kenyataan memaklumkan pusat beli belah One Utama, Bandar Utama dan kelab golf, Tropicana Golf Club & Country Resort ditutup kerana penularan kes Covid-19 di kedua-dua kawasan itu.

Dua kawasan itu ditutup bermula semalam bagi tujuan saringan kontak rapat dan proses nyah kuman. – Malaysiapost