Nurul Huda Abhar
SEPANJANG tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semua perkhidmatan kerajaan tetap beroperasi dengan penjawat awam mengadaptasi sistem penggiliran dan bekerja dari rumah.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan hari inii berkata, cara itu mengambil kira aspek keperluan dan kebajikan mereka.
Beliau berkata, setiap ketua jabatan dikehendaki untuk mematuhi Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam Rujukan bertarikh 2 Mei lalu.
“Ketua jabatan juga hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan sewajarnya dalam perkara ini di samping memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya seperti melaksanakan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai face mask dan menyediakan hand sanitizer.
“Pelaksanaan ini turut digunapakai bagi mana-mana kawasan yang diisytiharkan PKPB.
“Dalam hal ini, penggunaan aplikasi atas talian juga perlu diberi keutamaan bagi meminimakan perkhidmatan secara bersemuka seperti perkhidmatan kaunter dan mesyuarat selari dengan amalan penjarakan fizikal,” katanya hari ini.
Sementara itu, katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan SOP secara terperinci dalam masa terdekat.
Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini mengumumkan perlaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.
PKPB akan turut dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa tengah malam ini hingga 26 Oktober – Malaysiapost

