Penjelasan Dr Noor Hisham mengenai tindakan PKPB di Lembah Klang

0
1

Mengapakah tindakan agak drastik diambil kerajaan bagi PKPD seluruh Lembah Klang?

Situasi pandemik yang berlaku di Sabah dan seluruh Lembah Klang pada waktu ini menyaksikan kadar peningkatan kes harian yang agak mendadak berbanding sebelum ini.

Bagi kawasan Lembah Klang (Selangor, KL dan Putrajaya), walaupun bilangan kes yang direkodkan pada setiap hari kurang daripada 100 kes, tetapi ia secara konsisten merekodkan kes baharu setiap hari dan mula menular ke semua daerah kecuali Sabak Bernam.

Kita tidak lagi boleh untuk hanya melihat dan menunggu zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan perintah-perintah kawalan seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Penting untuk kita faham bahawa penilaian risiko sama ada teruk atau tidak situasi pandemik di sesebuah negeri itu bukan hanya sekadar melihat bilangan kes positif tetapi juga corak penularan jangkitan tersebut di dalam negeri itu.

Sekiranya penularan jangkitan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah sahaja, pendekatan PKPD Bersasar mungkin boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, jika penularan jangkitan telah menular ke setiap daerah di dalam negeri tersebut dan terus merekodkan kes-kes baharu setiap hari, ini bermakna penularan jangkitan itu tidak lagi dapat dibendung dengan berkesan.

Oleh itu, pendekatan yang terbaik untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan ini adalah dengan melaksanakan PKPB di seluruh negeri itu supaya penularan jangkitan rentas daerah ataupun negeri dapat dikawal dan dibendung dengan lebih berkesan.

Ini adalah tindakan yang lebih proaktif dan berkesan terutamanya dalam memastikan keupayaan kesihatan awam kita dapat dirancang sebaiknya.

Pelaksanaan perintah ini merupakan tindakan pencegahan yang amat penting untuk dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 sebelum ia menular ke seluruh negara.

Adakah perlu untuk majikan melakukan ‘swab test’ terutamanya bagi pekerja yang berurusan secara langsung dengan pelanggan?

Amalan sebelum ini adalah terpakai, di mana majikan digalakkan menghantar pekerja mereka untuk saringan dari semasa ke semasa. Terutama bagi sektor yang melibatkan banyak interaksi dengan masyarakat

Petugas kesihatan barisan hadapan misalnya, sememangnya KKM dan agensi berkaitan menjalankan saringan tempat kerja dari semasa ke semasa, selain saringan bagi petugas yang dikenal pasti sebagai kontak rapat.

Berapakah jumlah kakitangan yang dimobilisasi ke Sabah? Bagaimana sukarelawan yang berminat membantu pasukan bantuan perubatan KKM?

Secara keseluruhannya setakat ini, 522 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu.

Ini sama ada dalaman Sabah atau dari negeri lain. Kelak kita bakal menghantar 11 orang pakar terdiri daripada tiga pakar kesihatan awam, lapan pakar perubatan dan beberapa orang pegawai perubatan lagi.

KKM juga menyeru penglibatan lebih ramai sukarelawan perubatan dan kesihatan untuk membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga Covid-19.

Koordinasi akan dijalankan oleh pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan ([email protected], [email protected]).

Terima kasih diucapkan kepada semua anggota kesihatan dan perubatan agensi kerajaan serta semua sukarelawan yang telah sama-sama membantu memerangi Covid-19 di Malaysia.

Adakah bekalan PPE mencukupi untuk kegunaan barisan hadapan?

Perancangan awal telah dibuat dan stok sememangnya dipantau rapat pada peringkat fasiliti, negeri dan pusat menggunakan pengkalan data pusat.

KKM terus memastikan adalah mencukupi di semua hospital seluruh Malaysia, termasuk di negeri Sabah.

Terdapat 19 jenis PPE dan stok purata bagi keseluruhan negara adalah melebihi dua hingga tiga bulan. Kawasan yang mengalami kekurangan dikesan awal dan stok tambahan akan dihantar segera.Pada masa yang sama, kelulusan pusat telah diterima pada 2 lalu 2020 bagi permohonan perolehan secara darurat untuk PPE bagi negeri Sabah memandangkan situasi lebih meruncing di sana. – Malaysiapost