PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan daerah Sabah yang bukan dalam PKP Diperketatkan (PKPD) berbeza dengan apa yang dilalui rakyat pada Mac dan April lalu.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata tujuan PKPB kali ini adalah untuk mengurangkan risiko Covid-19 menular ketika aktiviti sosial, keagamaan dan hiburan yang tidak berasaskan ekonomik.
Katanya, larangan rentas daerah atau negeri bagi tujuan bukan ekonomik juga dilaksanakan untuk menghentikan Covid-19 daripada merebak ke negeri lain supaya tidak menjangkit orang tua di kampung.
“Pejabat-pejabat, kilang-kilang, ‘shopping mall’, gerai-gerai, kedai mamak masih dibuka dalam tempoh PKPB ini.
“Makcik Kiah juga boleh teruskan senyum menjual goreng pisang di tepi jalan. Sebab itu, jangan panik. Jangan ‘panic buying’ pula.
“Tiada keperluan berebut-rebut ke Tesco untuk masuk stok,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pekan itu menyarankan rakyat untuk duduk di rumah sambil ‘bermain Facebook’ dan menonton TV jika tiada keperluan mendesak untuk keluar.
“Bila keluar, ingat pakai face mask dan sering basuh tangan dengan sabun. Bila pulang ke rumah, segera bermandi dan tukar baju.
“Memandangkan taska juga ditutup, majikan-majikan juga disaran untuk benarkan pekerja mereka kerja dari rumah atau membenarkan ibu bapa bergilir bekerja di tempat kerja supaya boleh jaga anak.
“Cuma dua minggu sahaja. Kita sama-sama bersabar,” katanya. – Malaysiapost

