Najib selesai bayar ikat jamin RM1 juta

0
3

Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah atas tujuh tuduhan berhubung penyalahgunaan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, selesai membayar wang jaminan tambahan RM1 juta.

Najib, 67, yang hadir memakai baju kemeja biru tiba di mahkamah pada jam 1 tengah hari bersama anaknya yang difahamkan menjadi penjaminnya.

Kira-kira setengah jam kemudian Ahli Parlimen Pekan itu dilihat keluar dari kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi dan beredar.

Ketika menuju ke lobi mahkamah, Najib sempat berseloroh kepada petugas media yang menunggunya dengan berkata: “Semalam dah banyak gambar dah.”

Semalam, Najib diperintah membayar ikat jamin tambahan RM1 juta selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan kesemua hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan yang dihadapinya.

Sebagai syarat tambahan, mahkamah memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan setiap tiga kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.