Nilam Oshman
“Ini bukan penghujungnya. Kami kecewa tetapi tidak akan mengalah,” demikian luah Nooryana Najwa, anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,
Kata-kata sokongan kepada bapanya itu ditulis menerusi Instagram Story di Instagramnya, yananajib hari ini.
Ia sehari selepas Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berhubung penyalahgunaan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Nooryana berkata, dia dan keluarga melalui hari yang panjang dan beremosi sepanjang 48 jam lalu, namun kata-kata semangat dan dorongan pelbagai pihak menguatkan semangat mereka sekeluarga.
“Yana sekeluarga baca semua komen dan DM (mesej). Nanti Insya-Allah saya akan balas satu persatu selepas selesai urusan mahkamah pagi ini.
“Saya dan adik adalah penjamin untuk kes SRC,” tulisnya.

Najib semalam dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan kelak.

