Rayhan minta maaf, mahu pulang ke Bangladesh

0
2

Md Rayhan Kabir, lelaki Bangladesh yang ditahan susulan tuduhannya berhubung diskriminasi terhadap migran ketika sekatan pergerakan baru-baru ini, memohon maaf kepada kerajaan hari ini.

Peguamnya, Selvarajaa Chinniah dan Sumitha Shaanthini berkata komen itu seperti disiarkan Al Jazeera hanyalah pandangan peribadi anak guam mereka.

Selvarajaa seperti dilaporkan Free Malaysia Today berkata, Rayhan sedih melihat rakannya ‘ditahan dan dirantai’ dalam serbuan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Mei lalu.

“Dia mahu pulang untuk bersama keluarganya,” katanya.

Beliau menambah polis sudah mengambil keterangan Rayhan dan lelaki terbabit memaklumkan dia dilayan dengan baik oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Dia diberi layan sempurna dengan makanan baik. Kami akan menulis surat secara rasmi kepada Jabatan Imigresen mengenai tindakan lanjut mereka dan bila mereka akan menghantarnya pulang,” katanya.

Md Rayhan ditahan Jabatan Imigresen pada 24 Mei lalu, selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes Covid-19 melibatkan warga asing.

Dakwaan itu diterbitkan menerusi sebuah dokumentari oleh Al Jazeera pada 3 Julai lalu dan susulan itu polis turut menyiasat mereka yang terlibat dalam penghasilan dan penyiaran dokumentari tersebut.