Sibuk hal lain tetapi pimpinan sendiri terbabit rasuah

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PEMUDA PAS menyindir DAP yang sibuk menuduh dan menuding jari terhadap kes rasuah tetapi pimpinan tertinggi mereka juga terbabit dalam kes berprofil tinggi.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata rasuah adalah perbuatan yang tercela dan lebih hina jika dilakukan pemimpin yang diberikan amanah dan kuasa.

Katanya, segala kesalahan berkaitan perbuatan itu harus diambil berat sesiapa sahaja tidak kira ia datang dari mana-mana individu, entiti atau parti sama ada lama atau yang baharu.

“Isunya, ketika gegak gempita dibuat sesetengah pihak terhadap kes-kes rasuah berprofil tinggi ini dicanang-canang di merata dunia, Pemuda PAS merasakan isu yang cukup berat iaitu kes rasuah membabitkan terowong Pulau Pinang sepanjang 7.2 kilometer menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai.

“Yang menelan kos RM 6.3 billion membabitkan tokoh besar dalam DAP, seolah menjadi sampah yang disembunyi di bawah hamparan tikar kotor parti ini.

“Tertuduh Lim Guan Eng di dalam kes rasuah membabitkan projek terowong seolah disucikan apabila beliau membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sedangkan kes masih belum dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Khairil berkata, begitu juga dengan isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng yang turut didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram.

“Tidak dinafikan seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, namun terdapat sesetengan pihak yang menganggap tuduhan rasuah dikenakan ke atas pimpinan DAP ini sebagai ‘ok-ok sahaja’.

“Sedangkan kes rasuah terutama membabitkan individu mempunyai jawatan di dalam kerajaan adalah serius yang memberi kesan terhadap pandangan rakyat Malaysia terhadap kepimpinan negara,” katanya.

Justeru katanya, Pemuda PAS mendesak untuk DAP terus jujur dan tidak mengambil sikap berat sebelah terhadap isu rasuah yang cukup keji.

“Ketika mereka sibuk menuduh dan menuding jari kesana-sini terhadap kes-kes lain, tapi apa yang dilihat, pimpinan tertinggi mereka juga terbabit dalam kes berprofil tinggi membabitkan harta negara yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Jika pimpinan DAP terus berdiam diri terhadap kes rasuah yang membabitkan pimpinan mereka, tetapi terjerit-jerit terhadap pihak lain, maka tidak ubahlah DAP seperti peribahasa Melayu, ‘kokok berderai-derai, ekor penuh tahi’!,” katanya. – Malaysiapost