Pelaburan mesti didasari fakta – Anwar

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan khabar angin di pasaran saham yang mengaitkan namanya dengan kaunter-kaunter tertentu di Bursa Malaysia.

Beliau menegaskan tidak tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Ini adalah tidak benar sama sekali. Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham.

“Saya meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beberapa hari lalu, sebuah portal berita melaporkan sebuah syarikat dikaitkan dengan adik Anwar kini mendapat perhatian dalam kalangan pelabur, dalam apa yang sering diperkatakan tentang kaitan rapat antara perniagaan dan politik.

Ini berlaku sehari selepas pemimpin PKR itu mengumumkan menerima perkenan Yang di Pertuan Agong untuk mengadap bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar pada minggu lalu memaklumkan, beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 13 Oktober ini (esok).

Dalam satu kenyataan media, Anwar berkata pada majlis mengadap tersebut beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini. – Malaysiapost