Ahmad Fedtri kembali mengacara MHI

0
2

SELEPAS hampir sebulan berehat akibat kemalangan, pengacara, Ahmad Fedtri Yahya, 39, kembali ke studio TV3 bagi mengacarakan rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, hari ini.

Beliau menerima beberapa jahitan di muka selepas terjatuh dari basikal di kawasan tempat letak kereta Sri Pentas, Bandar Utama di Petaling Jaya, pada 16 September lalu.

Dalam hantaran ringkas di Facebooknya, Ahmad Fedtri yang juga penulis lirik menulis: “Kembali bersiaran di MHI ♥️.”

Susulan itu, rata-rata pengikutnya di laman sosial itu melahirkan rasa syukur apabila Ahmad Fedtri kembali sihat dan dapat bertugas seperti biasa.

Ahmad Fedtri kemudian memuat naik ucapan terima kasih di ruangan komen.

Terima kasih atas sokongan, doa dan motivasi kalian,” tulisnya.

Ketika kejadian pada 16 September lalu, dia baru membuat liputan program Kayuhan Hari Malaysia untuk Malaysia Hari Ini (MHI) sebelum terjatuh dari basikal.

Berikutan itu, Ahmad Fedtri cedera di bibir, kening, dagu serta rahang dan dirawat di pusat perubatan di Petaling Jaya. – MalaysiaPost.