JAIS tangguh nikah di Klang

0
1
Pix via Bernama

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan semua temujanji majlis akad nikah yang dijadualkan di Pejabat Agama Islam Daerah Klang (PAID Klang) mulai hari ini.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata keputusan itu membabitkan temujanji pasangan dari Zon Klang dan Zon Kapar.

Katanya, penangguhan dibuat berikutan semua aktiviti di masjid dan surau ditangguhkan JAIS yang membabitkan seluruh Klang dikuatkuasakan 7 Oktober lalu.

“Selain itu, ia selaras penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan 9 Oktober lalu.

“Sebarang temujanji akad nikah individu di PAID Klang akan dijadualkan semula,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sebarang perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan majlis akad nikah di daerah Klang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Malaysiapost