BN jamin tak campuri urusan kehakiman jika menang PRU-15

0
2

BARISAN Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan mengulangi apa yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) termasuk mencampuri urusan kehakiman sekiranya berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, BN tidak akan menggunakan kuasa sebagai kerajaan seperti PH ketika membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik gabungan itu membentuk kerajaan pada 2018.

Menurutnya, BN sentiasa menghormati sistem perundangan dan keluhuran perlembagaan.

“Saya fikir perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.

“Dan kami tidak akan ulangi apa yang PH lakukan bila mereka menjadi kerajaan.

“Kita dapat lihat bagaimana terlibat dan mencampuri urusan kehakiman,” katanya pada sidang media di World Trade Centre, Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf berkata, PH jelas telah campur tangan dalam bidang kehakiman seperti yang didedahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam buku memoirnya.

Terdahulu Asyraf diminta mengulas dakwaan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika kembali berkuasa.

Sebelum ini, Mahathir mendakwa Umno akan sekali lagi memberi sogokan untuk memenangi PRU-15 seterusnya memberi pengampunan kepada Najib.

Penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu berkata, untuk merealisasikan perkara itu Umno perlu memberi sogokan yang banyak kepada pengundi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here