Pemuda Umno dah serah senarai calon

0
1

PEMUDA Umno telah mengemukakan senarai nama daripada sayap itu kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dipertimbangkan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak mendedahkan jumlah yang dipohon menjadi calon untuk BN.

Asyraf berkata, BN akan menampilkan calon-calon yang lebih segar dan wajah baru pada PRU-15 ini selari dengan kemahuan Pengerusi BN yang mahukan 70 peratus muka baru ditampilkan.

“Saya percaya bila Pengerusi BN kata 70 peratus wajah baru dimahukan pada PRU-15 ini. Kami sudah hantar senarai calon kepada Pengerusi BN. Lebih ramai wajah baru.

“Kita tak pernah desak berapa peratus, tapi Pemuda mahu BN menampilkan lebih ramai calon dan calon orang muda yang beri isyarat BN mewajahkan baru parti.

“Kalau kita lihat, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka 84 peratus muka baru, di PRN Johor 79 peratus muka baru. Kita ada 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan lapan yang telah dilantik menjadi Exco kerajaan negeri,” katanya pada sidang media khas, di World Trade Centre, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Asyraf berkata, pihaknya telah mengerahkan 13,205 cawangan Pemuda Umno di seluruh negara agar bersiap siaga jika berlaku banjir dalam tempoh PRU-15.

“Kita harus memanfaatkan jentera Pemuda yang ramai dan menjadi orang pertama membantu pihak berkuasa tangani musibah banjir,” katanya.

Asyraf turut membidas pihak pembangkang yang menggunakan isu banjir untuk menyerang Umno seolah-olah kerajaan di Malaysia tidak wujud lagi untuk menangani bencana sekiranya berlaku.

“Main isu banjir macam kerajaan tak wujud. yang berkempen adalah orang parti politik. Kalau berlaku kerajaan sudah siap siaga. Sudah tentu kerajaan berada pada tahap siap siaga yang tinggi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here