Jho Low makan tengah hari bersama pegawai Ambank, TIA – Saksi

0
1

AHLI perniagaan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, hadir dalam perjumpaan makan tengah hari bersama pegawai Ambank dan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) di Hotel Mandarin Oriental di ibu negara, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, hari ini.

Bekas Pengarah Urusan AmInvestment Bank Berhad, Kok Tuck Cheong, ketika disoal peguambela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, perjumpaan secara kasual itu dihadiri oleh lima atau tujuh pegawai Ambank dan TIA pada 2009.

“Ketika itu, saya diperkenalkan kepada Jho Low oleh Chan Wan Seong (Pengarah Perhubungan Perbankan Ambank ketika itu),” katanya memetik Berita Harian.

Ditanya sama ada perjumpaan makan tengah hari itu ada kaitan dengan pengeluaran Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion oleh TIA, saksi berkata mereka tidak membincangkan urusan perniagaan yang serius.

Beliau juga tidak ingat sama ada Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TIA ketika itu hadir dalam perjumpaan berkenaan.

Muhammad Shafee: Siapa yang bayar bil (makan tengah hari?)

Tuck Cheong: Boleh jadi pegawai bank dan sebelah pihak lagi (TIA) tetapi memang bukan saya yang bayar

Muhammad Shafee: Adakah kamu tahu Jho Low pernah dianggap sebagai penasihat TIA?

Tuck Cheong: Namanya pernah ditimbulkan tetapi ia bukan kenyataan fakta yang konkrit.

Muhammad Shafee: Secara rasmi dia berada dalam lembaga sebagai penasihat TIA?

Tuck Cheong: Bukan (penasihat) ketika perjumpaan itu.

TIA ditubuhkan pada Februari 2009 dan dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan, dengan Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai pemilik majoriti.

TIA kemudian dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada Julai 2009 dan dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada September tahun sama.

Shahrol Azral dalam keterangan di mahkamah sebelum ini berkata, pengambilalihan TIA kepada 1MDB bertujuan menyembunyikan penyelewengan Datuk Seri Najib Razak ke atas bon IMTN berjumlah RM5 bilion yang dimohon TIA.

Shahrol Azral dilaporkan yakin dasar pengambilalihan itu dirancang oleh Jho Low dengan restu Najib untuk menyembunyikan penyelewengannya ketika penerbitan bon berkenaan dengan Jaminan Kerajaan yang dibuat pada Mei 2009.

Katanya, Jho Low mengarahkannya menulis surat kepada Najib bagi memastikan 1MDB tidak perlu diaudit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here